Perkara tersebut kata Menteri Wilayah, Khalid Abd. Samad, amat penting bagi memberikan gambaran sebenar syiar Islam seterusnya mengubah persepsi penganut bukan Islam yang seringkali mengaitkan tindakan keras dan kejam dengan agama tauhid itu.

Beliau berkata, perlakuan positif yang dianjurkan agama antaranya seperti toleransi, mementingkan keadilan dan saling menghormati sesama rakyat, menjadi cerminan sebenar yang akan mengembalikan semula nilai sejagat yang dituntut oleh Islam, seterusnya memenangi hati masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan amalan.

"Setiap umat Islam perlu menggalas amanah dan tanggungjawab ini agar Islam menjadi contoh tauladan terbaik dan disenangi oleh semua.

"Peranan ini amat signifikan dalam era globalisasi dan imej positif yang kita berjaya terap dan tonjolkan menjamin kelangsungan Islam sebagai agama yang mementingkan kebaikan dalam hidup," katanya dalam ucapan Majlis Makan Malam dan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-57 Perkim Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kehormat Perkim Tan Sri Mohd. Yusof Noor; Pengerusi Perkim, Datuk Dr Abu Bakar Shaari dan juga Naib Presiden Perkim, Datuk Seri Shahidan Kasim.

Majlis tahunan itu turut menyaksikan beberapa orang  tokoh dipilih sebagai Ahli Kehormat Perkim hasil peranan dan sumbangan terhadap kemajuan Islam, antaranya Khalid diikuti Tun  Ahmad Sarji Abd. Hamid.

Kira-kira 500 tetamu terdiri daripada ahli Perkim di seluruh negara selain wakil penduduk Islam dari selatan Filipina, turut memeriahkan majlis dianjurkan setiap tahun itu.- UTUSAN ONLINE.