Pengerusi Ahli Jemaah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Manik, Suib Sulaiman berkata, pesawah telah menerima bantuan 12 beg baja sebatian atau campuran dan empat beg baja urea seberat 20 kilogram setiap satu bagi keluasan sawah satu hektar.

Bagaimanapun katanya, pesawah terkilan dengan bantuan tersebut kerana tidak cukup satu lagi jenis baja iaitu baja NPK tambahan sebanyak enam beg seberat 25 kilogram setiap satu bagi keluasan satu hektar sawah.

Katanya, selain itu bantuan racun serangga dan racun rumpai berjumlah RM200 untuk satu hektar juga tidak diteri­ma petani seperti sebelum ini.

“Apa yang membimbangkan pesawah ialah padi yang dita­nam tidak mendapat baja mencukupi dan kawalan se­rangga makhluk perosak.

“Ini akan menyebabkan po­kok padi terencat dan pengeluaran hasil buah padi menurun serta menjejaskan pendapatan kami,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu, Suib menjelaskan, pesawah mahu kerajaan memberi subsidi baja padi sama seperti yang diberikan oleh kerajaan terdahulu dan bukan mengurangkannya hingga membebankan pesawah.

“Kami harap mendapat perhatian daripada pihak kerajaan dengan membekalkan segera baja NPK tambahan sebanyak enam beg bersama bantuan input pertanian racun serangga dan rumpai bernilai RM200 bagi setiap hektar sawah,” katanya.

Pesawah, Helmi Iskandar Mo­hamad, 42, berkata, pesa­wah kecewa dan terkilan de­ngan apa yang berlaku kerana ia menjejaskan hasil padi yang baharu sahaja ditanam.

Katanya, disebabkan baja sub­sidi yang dikurangkan, mereka keluarkan duit sendiri untuk membeli baja yang diperlukan.

“Namun bukan semua pesawah mampu membeli baja. Jadi kami berharap kerajaan jangan tekan pesawah dan kami berharap apa yang kami dapat dari kerajaan sebelum ini kekalkan, jangan dikurangkan,” katanya.

Pesawah, Sabre Sulaiman, 61, ketika ditemui turut mengeluh apabila padi berusia 60 hari yang ditanamnya tidak subur kerana kekurangan baja.