Titah baginda, para pelajar perlu diberikan penghargaan itu apabila melakukan sesuatu kebaikan selain pihak sekolah perlu menolak amalan memberi hukuman atas kesalahan dilakukan seseorang pelajar itu.

“Jika formula tersebut berjaya di sekolah itu, maka ia turut boleh dituruti sekolah-sekolah lain di negeri ini.

“Pendekatan tersebut juga diharap dapat mengurangkan masalah yang sering disabitkan dengan golongan pelajar iaitu ponteng, keciciran, buli, merokok dan disiplin di sekolah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menghadiri Majlis Pengurniaan Bantuan Charity Right di Dewan Ibnu Batuta SK Simpang Ampat di sini hari ini.

Berangkat sama pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Guru Besar sekolah tersebut, Tengku Tun Noorani Tengku Senawi dan Pengurus Mercy Mission yang mewakili Charity Right, Mohd. Nurhisyam Shamsir.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Izmi Ismail.

Untuk program kali ini, seramai 100 orang murid yang terpilih dari sekolah tersebut, terdiri daripada keluarga susah diberikan sumbangan bahan makanan.

Charity Right ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Petaling Jaya, Selangor dan menjadi sebagai satu platform untuk menyalurkan sumbangan berupa makanan asas kepada golongan yang memerlukan.

Sebelum ini, iaitu pada Januari lalu, pihak Charity Right dengan kerjasama DS Borneo Trading dan pereka fesyen terkenal, Melinda Looi turut memberi sumbangan kepada 40 pelajar terpilih daripada SK Padang Besar Selatan. - UTUSAN ONLINE