Beliau yang juga Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata, semua pihak perlu menunggu waktu yang sepatutnya berhubung pengumuman yang dibuat oleh rakan sejawatnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

“Saya umum ke? Adakah saya umum? Tunggu masa itulah siapa umum. Saya tidak boleh cakap apa-apa sebab saya rasa kita…tolong tunggu hingga waktunya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Menara UOA, di sini hari ini.

Semalam, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, kerajaan akan membuat satu pengumuman penting berkaitan kutipan tol lebuh raya dalam masa terdekat.

Ketika ditanya adakah kerana kedudukan kewangan yang semakin meningkat baik membolehkan kerajaan untuk memansuhkan tol, Guan Eng berkata,

“Kami sedang berusaha secara progresif tapi akan mengambil masa. Saya tidak kata seperti yang awak tanya, kita tunggu pengumumannya nanti dan saya juga akan semak dengan Muhyiddin.

“Saya yakin ada pengumuman yang akan dibuat untuk menjelaskan perkara ini tapi sehingga waktu tersebut tolong jangan membuat sebarang spekulasi,” katanya.

Jelas Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, pengumuman berkaitan kadar tol itu merupakan komitmen PH dalam menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kita tidak lepas tangan, kita tidak cakap tidak mahu teruskan. Itu adalah komitmen kita buat tapi masih berterusan mengikut keupayaan kerajaan kerana anda semua tahu ini adalah masalah kos yang melambung tinggi,” katanya. - UTUSAN ONLINE