Pengurus Besar Kanan (Pembangunan Grid) TNB, Datuk Husaini Husin berkata, program tersebut adalah salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya yang dilaksanakan pada setiap tahun.

Katanya, projek Baiti Jannati menyasarkan umat Islam daripada golongan asnaf sementara rumahku syurgaku pula bagi bukan Islam.

"Setiap tahun kita akan membina dua kediaman bagi projek Baiti Jannati sementara dua lagi rumah untuk program rumahku syurgaku. Kita akan memilih mereka yang layak menerima bantuan itu di seluruh negara.

"Kos pembinaan bagi setiap unit kediaman itu dianggarkan bernilai RM30,000," katanya ketika ditemui selepas Majlis Mesra Aidilfitri TNB peringkat negeri ini di Wisma TNB, di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir, Pengurus Besar (Khidmat Pelanggan dan Pembangunan Perniagaan) TNB, Datuk Ir. Mohd. Azim Yusof dan Pengurus TNB negeri, Abdul Aziz Yaacob.

Tambah Husaini, pihaknya turut berganding bahu dengan kerajaan negeri ini bagi melaksanakan pelbagai program CSR termasuk membina rumah melalui program Baiti Jannati dan rumahku syurgaku.

Sementara itu, beliau berkata, majlis yang diadakan hari ini merupakan aktiviti tahunan yang diadakan di setiap negeri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Tujuan kita mengadakan majlis ini adalah untuk menjalinkan hubungan silaturrahim dan ukhuwah bersama-sama dengan para pemimpin, masyarakat serta warga kerja TNB," katanya. - UTUSAN ONLINE