Pengurus Besar Ka­nan (Hal Eh­wal Korporat) TNB, Datuk Ir. Mohd. Aminuddin Mohd. Amin berkata, projek itu dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Research Sdn. Bhd. (TNB Research) untuk tempoh tiga tahun sejak Mei tahun lalu.

Beliau berkata, pro­jek itu melibatkan ka­jian menyeluruh me­­ngenai serangga yang menarik minat ramai itu terutamanya para pelancong di empat lokasi utama iaitu Kampung Su­ngai Timun dekat sini, Kampung Kuantan, Kuala Selangor; Kampung Yak Yah di Kemaman, Terengganu dan Kampung Dew di Tai­ping, Perak.

“Hasil kajian ini yang menelan belanja kira-kira RM5.8 juta akan dihantar kepada pihak pengurusan tertinggi TNB sebelum diberi kepada kerajaan negeri untuk tindakan bersama,” kata­nya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Aidilfitri TNB di pekara­ngan jeti nelayan Pusat Pelanco­ngan Kelip-Kelip Kampung Sungai Timun di sini baru-baru ini.

Tambahnya, selain habitat dan populasi kelip-kelip, TNB juga berminat menaik taraf sosio ekonomi penduduk kampung terutamanya para nelayan me­ningkatkan pendapatan melalui aktiviti pelancongan.

Jelasnya, selain membawa pelancong, penduduk setempat juga boleh mengambil bahagian melalui penanaman dan penjualan benih pokok Be­rembang yang menjadi tumpuan kelip-kelip.

“Usaha ini pernah dilakukan di Kuala Selangor dan kita berharap ia dapat diperluaskan di si­ni,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Unit Regulatori dan Sains Alam Sekitar TNB Research, Shahril Husin berkata, matlamat utama kajian di Rembau itu ialah untuk membangunkan satu kaedah pelan pengurusan ekosistem yang les­tari bagi pemuliharaan populasi dan habitat kelip-kelip.

Katanya, skop kajian itu antara lain termasuk kepelbagaian dan kelimpahan populasi kelip-kelip dan komuniti serangga yang berkait kelip-kelip, tumbuhan yang hidup di sepanjang tebing sungai, kualiti air serta tahap pencemaran dan perubahan guna tanah selain kaitannya de­ngan populasi kelip-kelip.

“Pelaksanaan kajian ini diharap dapat menjadi platform perkongsian ilmu bersama komuniti setempat mahu pun para pelajar tentang kepentingan me­melihara kualiti alam sekitar serta menye­mai semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan mereka.

“Antara program yang dirancang sepanjang kajian termasuk menanam pokok Be­rembang bersama komuniti dan pelajar di sepanjang kawasan kajian itu,” katanya.

Beliau memberitahu, pada 27 Jun lalu, satu program pendidikan alam sekitar bersama pelajar sekolah sekitar daerah Rembau telah diadakan dengan pengli­batan seramai 60 pelajar.

Jelasnya, pelbagai aktiviti te­lah dijalankan semasa program selama satu hari itu antaranya menanam sebanyak 60 anak pokok Berembang, aktiviti dalam kumpulan berdasarkan modul-modul iaitu serangga dan kelip-kelip, penggunaan peta dan sistem penentu kedudukan global (GPS), kualiti air sungai dan tumbuh-tumbuhan.