Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, keyakinan itu berdasarkan keupayaan dan komitmen UMT dalam mengendalikan lebih 40 projek penyelidikan yang sedang giat dijalankan untuk tahun ini dan tahun depan berkaitan bidang berkenaan.

Beliau menjelaskan, kesemuanya digerakkan melalui empat pusat pengajian yang aktif di UMT dalam memenuhi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 14) dengan tahun 2030 dijadikan sasaran untuk direalisasikan.

"Semalam, saya telah mempengerusikan mesyuarat penyelarasan untuk SDG 14 dan UMT kini mempunyai lebih 40 projek (penyelidikan) sedia ada dan ia sedang berjalan hingga tahun 2018 yang berkait rapat dengan pengurusan sumber alam sekitar, perikanan marin dan tadbir urus.

"Ini merangkumi empat pusat pengajian yang aktif untuk kita penuhi SDG14 dan ini matlamat 2030. Saya percaya program ini kita akan angkat untuk TN50 dan merekalah akan perluaskan program ini pada masa akan datang," ujarnya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Penyelidikan Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) di UMT dekat sini hari ini yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azizan Ahmad.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM), Datuk Dr. Sukarno Wagiman dan Pengarah INOS UMT, Prof. Madya Dr. Aidy @ Mohamad Shawal M. Muslim.

Seminar dua hari yang dianjurkan oleh JTLM dengan kerjasama UMT dan Universiti Utara Malaysia (UUM) itu dihadiri lebih 100 peserta termasuk saintis serta para penyelidik dalam pengurusan taman laut.

Nor Aieni berkata, menerusi TN50, UMT mensasarkan penglibatan meluas pelajar pelapis menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi yang mampu memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan hasil kajian.

"Kita lihat komponen TN50 ada pengisiannya untuk pengurusan alam sekitar yang mapan, jadi UMT memainkan peranan penting dan menjadi pusat rujukan bukan saja di Malaysia, kita juga ada program-program antarabangsa," jelasnya. - UTUSAN ONLINE