Tunku Ismail turut berharap dengan pertemuan antara baginda dan Perdana Menteri itu, mereka boleh bekerjasama untuk masa depan negara yang lebih baik.

Beliau juga mendoakan kesejahteraan dan kesihatan yang baik selain mengucapkan selamat maju jaya kepada Dr. Mahathir.

“Assalamualaikum. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kerana melawat Johor ‘menghadap’ ayahanda DYMM Tuanku Sultan.

“Saya harap kita dapat bekerjasama untuk masa depan negara yang lebih baik. Selamat maju jaya serta berharap diberi kesihatan yang baik dan terima kasih, Sir. Salam ikhlas, Ismail Ibrahim,” katanya menerusi laman Twitter beliau sebentar tadi.

Pada dua hari lalu, Dr. Mahathir mengadakan pertemuan empat mata bersama Sultan Ibrahim selama sejam setengah di Istana Bukit Serene, beliau sebelum itu tiba dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) pada 3.30 petang.

Selepas pertemuan selama sejam setengah, Sultan Ibrahim berkenan menghantar Dr. Mahathir dengan menaiki kereta Proton Saga biru, nombor pendaftaran Proton 1 yang dipandu sendiri baginda ke LTAS. - UTUSAN ONLINE