Menerusi status terbaru dalam Facebook rasminya, Tunku Ismail berkongsi dua artikel dalam bahasa Melayu dan Inggeris berkaitan jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri serta Kedaulatan Raja-Raja. 

“Perkara 71(1) iaitu Jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri menyebut: Persekutuan hendaklah menjamin hak Raja sesuatu negeri untuk naik takhta dan memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak dan keistimewaan di sisi perlembagaan bagi Raja Negeri itu mengikut Perlembagaan Negeri itu; tetapi apa-apa pertikaian tentang hak naik takhta mana-mana negeri hendaklah diputuskan semata-mata oleh mana-mana pihak berkuasa dan semata-mata mengikut apa-apa cara yang diperuntukkan Perlembagaan Negeri itu.

“Perkara 181(1) iaitu Kecualian bagi kedaulatan Raja-Raja pula menyebut: Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa pembesar yang memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas,” katanya di sini malam ini. 

Dr. Mahathir hari ini dalam laman blog beliau membangkitkan Undang-Undang Tubuh Johor 1895 dan Terengganu 1911 terbatal apabila Perlembagaan Persekutuan dibentuk pada 1957.

Perdana Menteri menerusi catatan dalam chedet.cc turut menjelaskan secara ringkas mengenai pembentukan Perlembagaan tersebut serta kegagalan mematuhinya akan menidakkan kedaulatan undang-undang. - UTUSAN ONLINE