Baginda bertitah, dalam hal ini, golongan tersebut haruslah memiliki kemahiran berbahasa dan komunikasi yang menjurus ke arah yang lebih global.

"Pada masa sama, kefahaman terhadap nilai antarabangsa akan meningkatkan lagi keupayaan memahami nilai-nilai manusia sejagat dan senario ini boleh menyumbang terhadap keamanan dunia.

"Kesedaran terhadap kepentingan pendidikan dalam era globalisasi menyebabkan seseorang itu akan lebih bersedia menghasilkan produk dan perkhidmatan yang bersesuaian dengan kehendak tempatan dan juga global kini," titah baginda.

Demikian titah baginda yang juga Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis ketika berkenan berangkat bercemar duli merasmikan program 'Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Sheikh Ahmad 2018', di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengetua sekolah itu, Shaharim Saad beserta ketua penyelaras program, Kapten Azuan Mohd. Nasir dan Hakim Khan.

Turut hadir ialah Setiausaha YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd. Darus beserta seramai 345 orang pelajar tingkatan satu, dua dan tiga sekolah itu.

Program anjuran YTSP Perlis tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Tuanku Syed Faizuddin Putra seterusnya bertitah, golongan muda juga perlulah lebih berdaya saing agar seiring dengan perkembangan bidang pendidikan yang saban hari kian berubah. - UTUSAN ONLINE