Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sehubungan itu, TEKUN disaran agar meningkatkan jumlah pinjaman kepada golongan tersebut sehingga RM500,000 berbanding jumlah yang disediakan sekarang.

Tegas beliau, jumlah pinjaman maksimum RM100,000 se­karang tidak cukup untuk para usahawan-­usahawan menampung kos operasi yang semakin meningkat terutama untuk pasaran eksport.

“Usahawan mikro ini yang sudah berjaya dan terbukti tidak boleh hanya berniaga di kampung-kampung sahaja tetapi kerajaan mahu mereka pergi lebih jauh termasuk ke peringkat global.

“Jadi kalau pinjaman RM100,000 mana cukup, contohnya eksport durian ke China bukannya satu atau dua biji tetapi kita mahu satu kontena, dua kontena, maka pinjaman perlu ditambah supaya mereka boleh menampung kos operasi,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran Karnival TEKUN di sini hari ini.

Program yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung termasuk usahawan TEKUN negeri itu dirasmikan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

Tajuddin berkata, saranan tersebut adalah sebagai mendukung hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu melihat lebih ramai usahawan tempatan cemerlang di peringkat global dengan menyediakan pelbagai bantuan di dalam Bajet 2018.

Sementara itu, katanya, sejak ditubuhkan 30 tahun lalu, TEKUN telah membantu 400,000 usahawan mikro seluruh negara de­ngan nilai pinjaman RM4.9 bilion.

Jelasnya, di Sabah, 40,000 usahawan TEKUN telah dibantu dan sehingga hari ini sebanyak RM500 juta bayaran balik pinjaman berjaya dikutip menjadikan negeri ini mendahului negeri-negeri lain.

“Saya gembira kerana usahawan TEKUN di Sabah nombor satu dalam membayar balik pinjaman, ini buktinya langkah kita berjaya kerana mereka mampu berniaga dan bayar balik pinjaman,” katanya.