Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, program membabitkan penanaman cili secara fertigasi itu bukan sahaja menghasilkan cili yang berkualiti malah dapat me­ningkatkan pendapatan kira-kira 200 penduduk yang menyertainya.

Kata beliau, melalui program itu, setiap peserta disasarkan memperoleh pendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

“Sebelum ini program seperti ini terhad kerana Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sampai Manjung sahaja.

“Apabila Bagan Datuk dima­sukkan ke dalam NCER, maka banyak program berbentuk industri dan keusahawanan dapat dilaksanakan di daerah ini termasuklah program agropreneur ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Program Komuniti Agropreneur NCIA di Tapak Latihan Komuniti Agropreneur Bagan Datuk, Su­ngai Pergam, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin.

Pada masa sama, Ahmad Zahid mahu program berkenaan diperluaskan dengan turut melibatkan 380 orang yang berada dalam ‘senarai menunggu’ sekali gus membolehkan peserta keseluruhan menjadi 580 orang.

Beliau juga meminta NCIA memastikan program berkenaan turut melibatkan peserta daripada semua kaum kerana terdapat ramai penduduk Cina dan India yang berpendapatan rendah di daerah ini yang perlu dibantu.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Uta­ra berkata, beliau akan memantau sendiri projek berkenaan serta semua projek lain di bawah NCIA.

“Saya juga mencadangkan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mewujudkan sistem perlada­ngan kontrak kepada program komuniti agropreneur itu kerana kami tidak mahu orang tengah mengambil hasil kami.

“Malah, pastikan projek hiliran dapat diwujudkan iaitu cili yang tidak terjual boleh diproses dijadikan cili boh, sos cili dan serbuk cili. Ini bagi membolehkan semua mereka yang terlibat mendapat hasil yang lebih baik,” katanya.