Langkah tersebut dilihat penting bagi memastikan pengeluaran getah negara berada dalam kualiti yang tinggi.

Sehubungan itu, Presiden Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM), Kameruzaman Ab. Rahman menjelaskan, LGM sebagai agensi bertanggungjawab ke atas kawalan kualiti pengeluaran getah negara wajar menempatkan anggota penguat kuasa mereka di lebih 40 kilang getah yang masih aktif beroperasi.

"Penguatkuasaan ke atas kualiti getah khususnya di kilang-kilang memproses getah adalah amat penting. Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan menyeluruh akan menjamin mutu keluaran getah negara terus utuh dan terpelihara.

"Kini terdapat lebih kurang 40 buah kilang yang masih aktif beroperasi dalam memproses getah-getah tempatan dan sumber getah yang diimport bagi mengeluarkan getah Gred Mutu Malaysia (SMR) yang merupakan gred getah utama eksport getah negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Kameruzaman, Malaysia yang kini merupakan negara kelima pengeluar getah asli dunia selepas Thailand, Indonesia, Vietnam dan China sewajarnya lebih memberikan penekanan ke atas aspek kualiti getah.

"Tindakan ini bagi memastikan getah keluaran negara kekal sebagai getah berkualiti tinggi dan mampu mendapat permintaan tinggi dari negara pengguna.

"Namun begitu pihak LGM perlu menyediakan bilangan anggota yang mencukupi bagi melaksanakan tugas yang melibatkan kepentingan negara," katanya.

Dalam pada itu, menurut Kameruzaman, pihaknya dimaklumkan bilangan anggota tetap penguat kuasa di LGM adalah hanya 45 orang sahaja.

"Bilangan yang kecil ini adalah amat tidak munasabah bagi melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan ke atas lebih 4,000 pemegang lesen dan lebih 300,000 pemegang Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) yang dikeluarkan oleh LGM.

"Difahamkan jufa hampir 40 orang anggota penguat kuasa LGM bertaraf kontrak akan ditamatkan perkhidmatan mereka mulai bukan Jun 2019 sedangkan mereka amat berpengalaman lebih-lebih lagi tugasan penguatkuasaan yang amat penting khususnya dalam penjagaan kualiti getah," katanya. - UTUSAN ONLINE