Naib Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah, Tan Sri Lee Lam Thye percaya kurangnya kawalan terhadap penjualan alkohol menyebabkan berlakunya kes-kes keracunan tersebut kerana banyak kedai menjual minuman alkohol seludup atau dicampurkan dengan bahan lain sebelum dijual dengan murah.

“Saya berasa hairan mengapa sesetengah minuman keras yang dijual di dalam negara mengandungi metanol yang melebihi tahap yang dibenarkan berdasarkan pendedahan analisis Kementerian Kesihatan di samping, produk terbabit juga tidak mengikuti syarat pelabelan di bawah Peraturan Makanan 1985 yang terletak di bawah Akta Makanan, seperti ketiadaan nama dan alamat pengilang, pengimport atau ejen.

“Undang-undang sedia ada juga harus dipinda untuk membendung penjualan minuman beralkohol kerana pada masa ini kedai-kedai arak tumbuh bak cendawan selepas hujan manakala pemantauan oleh pihak berkuasa pula amat lemah. Kerajaan perlu memperkenalkan hukuman penjara mandatori bagi mereka yang menjual alkohol yang diseludup atau dicemari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian keracunan alkohol yang mencatatkan berpuluh-puluh kematian di seluruh negara sejak pertengahan bulan ini.

Lam Thye turut menggesa semua rakyat Malaysia membuang sikap tidak ambil peduli dan membantu pihak berkuasa menangani masalah berkaitan pengambilan arak berlebihan yang boleh menyebabkan masalah keluarga, kegagalan dalam kalangan pelajar, kemalangan jalan raya dan pergaduhan. - UTUSAN ONLINE