Setelah berhenti sekolah pada 2015, ekoran kesempitan hidup, hati Lee Jen Ney sentiasa berkobar-kobar untuk kembali menuntut ilmu.

Akhirnya, mimpinya itu dimakbulkan tuhan dan menjadi kenyataan hari ini, apabila dia secara rasmi diterima kembali bersekolah.

Menurut Jen Ney, dia berasa sangat gembira dan terharu kerana impiannya untuk bersekolah semula tercapai pada hari ini.

“Inilah detik yang saya tunggu-tunggu. Bagi saya hanya melalui pendidikanlah, mampu mengubah nasib saya dan keluarga,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abd. Jalil, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan negeri, Zainodin Ahmad dan Pengetua sekolah itu, Hakimi Abas.

Menceritakan kisah hidupnya, Jen Ney berkata, dia terpaksa berhenti belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Kong Aik, Jejawi, di sini, ketika di Tahun Lima kerana kesempitan keluarga.

Katanya, dia dan seorang adik perempuan berusia 10 tahun kemudian terpaksa pulang ke kampung halaman ibunya di utara Thailand bersama bapa yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

“Di sana (Thailand), saya bekerja sebagai pembantu kedai makan untuk membantu menyara keluarga. Kami kemudian kembali ke Perlis dan setiap hari, saya berdoa supaya dapat kembali ke sekolah,” katanya.

Menurut Zainodin, sebuah jawatan kuasa telah ditubuhkan bagi menangani isu keciciran pelajar yang dikenali sebagai Jawatankuasa Peningkatan Enrolmen Menengah dan Op Sifar Cicir Perlis pada bulan lalu.

“Selain Jen Ney, kita juga telah berjaya mengesan seorang pelajar tahun enam yang keciciran selama setahun dan kembali bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Empat, baru-baru inim,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri turut menyalurkan bantuan awal kepada bapa Jen Ney sebanyak RM250 sebulan, sebuah kerusi roda dan masing-masing sebanyak RM100 sebulan kepada Jen Ney dan adiknya.

Asrul Nizan pula memberitahu, beliau mendapat maklumat mengenai nasib Jen Ney melalui laman sosial dan bergegas melakukan lawatan di rumah remaja itu keesokan harinya.

“Hasil lawatan itu dan dengan kerjasama semua pihak, masalah remaja ini dapat diselesaikan dalam tempoh hanya satu bulan,” katanya. - UTUSAN ONLINE