Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerjasama tiga negara itu akan menggunakan konsep yang sama pernah digunakan sebelum ini dalam mengawasi perairan Selat Melaka yang dikenali Eye In The Sky.

Katanya, Malaysia akan me­ngetuai operasi tersebut dan dikoordinasi bersama dengan Fi­lipina serta Indonesia bagi menjaga keselamatan perairan itu.

“Tiada tempoh tertentu operasi berkenaan dilakukan sehingga keadaan benar-benar selamat. Ia akan dilakukan secara bersama antara ketiga-tiga negara. 

Ini adalah langkah positif dan kita sepatutnya perlu berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan negara terlibat untuk menjaga kedaulatan negara serta mengekang ancaman Daesh di rantau ini.

“Selain itu, kita juga perlu sedar bahawa ancaman yang dihadapi bukan hanya melibatkan satu negara sahaja. Sebagai contoh pertempuran di Merawi, Filipina. 

Pengganas di sana berkemungkinan besar akan menyusup masuk ke negara lain seperti Malaysia. Dengan adanya operasi tersebut, ia dapat menangani ancaman sedia ada secara berkesan,” katanya ketika menghadiri Majlis Pelancaran TAP di Pangkalan Udara Subang di sini hari ini.

Operasi TAP akan melibatkan Pusat Pemerintahan Maritim di Tawau, Sabah; Tarakan, Indonesia dan Bongao, Filipina yang berfungsi sebagai pusat pertukaran maklumat serta komunikasi.

Yang turut hadir Menteri Pertahanan Indonesia, Jeneral (B) Ryamizard Ryacudu; Setiausaha Pertahanan Kebangsaan Filipina, Delfin N. Lorenzana; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Ahmad Affandi Raja Mohamed Noor; Pang­lima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.