Ketua Pangkalan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Malaysia Lumut, Mansor Yobe berkata, operasi itu mendapat kerjasama daripada Polis Marin Kampung Acheh dengan penglibatan sebanyak 14 anggota dari dua jabatan.

Menurutnya, dalam operasi kali ini, cawangan Perlindungan Sumber Kampung Acheh telah menggerakkan dua buah kapal, sebuah bot peronda laju dan Polis Marin juga menggerakkan sebuah bot peronda laju bagi mengendalikan isu aduan nelayan.

“Dalam operasi selama empat hari ini, pihak kami merampas sebanyak 183 unit bubu naga, dua buah bot pukat surong dan tiga buah bot nelayan tempatan yang melanggar syarat pengezonan serta penggunaan kru asing tanpa izin.

“Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM669,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985, Seksyen 113C) Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980.

Menurut Mansor, tumpuan utama operasi ini adalah untuk menangani isu-isu semasa dan aduan yang diterima dari nelayan sekitar kawasan ini.

"Nelayan di sini berdepan isu seperti penggunaan bubu naga, nelayan asing, pencerobohan zon penangkapan ikan terutamanya pukat tunda dan penggunaan peralatan rawa surong," katanya. - UTUSAN ONLINE