IRMOHIZAM IBRAHIM

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, sebaik-baiknya sumber ke­wangan mahupun kepakaran digunakan untuk memperkasakan lagi agensi dan jabatan kerajaan sedia ada demi memantapkan tadbir urus, integriti dan hak asasi manusia dalam sektor awam dan swasta.

Misalnya kata beliau, agensi sedia ada seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh diperkasakan la­gi bagi mencapai maksud yang sama dengan penubuhan jabatan baharu itu.

RUHANIE AHMAD
RUHANIE AHMAD

“Saya berpendapat langkah ini tidak perlu, sebaliknya kita patut memberikan lebih tum­puan untuk memantapkan agensi yang sedia ada dan pada sama mengelak berlakunya pertindihan tugas.

“Sama ada penubuhan ja­ba­tan baharu ini boleh menyelesaikan segala permasalahan tadbir urus adalah subjektif. Apa yang penting operasi dan komitmen setiap kakitangan agensi dan jabatan sedia ada dimantapkan lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low bahawa Kabinet telah memberi kelulusan bagi penubuhan Jabatan Inte­griti dan Tadbir Urus Negara (JITN) sebulan lepas.

Kata menteri itu, agensi tersebut akan berperanan se­bagai badan penyelaras un­tuk menerajui perubahan transformasi dalam sektor awam serta swasta menumpukan pada tadbir urus baik, integriti dan hak asasi manusia.

Jelas Irmohizam, Bahagian Integriti dan Tadbir Urus mungkin boleh membe­ri sumbangan dari segi pe­ngumpulan data dan maklumat untuk perkongsian pelbagai pi­hak yang berkaitan dalam soal integriti dalam tadbir urus sektor awam dan swasta.

Pada masa sama, Naib Presi­den Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ruhanie Ahmad turut melontarkan pendapat yang sama bahawa seharusnya semua agensi dan jabatan, khususnya di peringkat penguatkuasaan perlu ditanamkan lagi sikap antirasuah dan penyalahgunaan kuasa untuk memperbaiki kelemahan yang sedia ada.

Sementara itu Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Razali Ismail berkata, Suhakam mahu mengadakan pertemuan bersama menteri berkenaan untuk mengenal pasti apakah bentuk pembaharuan yang boleh diusahakan.