Ini kerana SOP sedia ada sudah memadai dan ia jelas tidak mempunyai konflik kepentingan.

Beliau memberitahu, adalah menjadi sesuatu yang normal bagi mana-mana agensi, badan atau individu yang akan ke luar negara mendapatkan kelulusan daripada kementerian sama ada daripada ketua setiausaha atau daripada menteri itu sendiri.

“Dalam perkara ini, ia dirujuk kepada saya. Saya sendiri melihat surat itu dan saya pastikan bahawa ia tidak mempunyai konflik kepentingan.

“Surat itu diserahkan berdasarkan tajaan dari Lembaga Totalisator Malaysia yang berada di bawah Kementerian Kewangan. Selepas saya buat itu (kelulusan), siapa di belakang, sumber mana lembaga dapat sumber, itu saya tidak mahu tanya. Tetapi, fakta yang ada, lembaga ini bukan pertama buat begitu (tajaan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penamaan calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Semenyih di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian dekat sini hari ini.

Beliau mengulas isu lawatan kerja pegawai -pegawai kanan polis yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ke Turki yang dikatakan ditaja syarikat loteri, Da Ma Cai.

Rabu lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan lawatan itu bukan dibiayai kerajaan sebaliknya daripada syarikat loteri berkenaan.

Beliau berkata, walaupun lawatan itu diluluskan Lembaga Totalisator Malaysia iaitu sebuah syarikat bawah Kementerian Kewangan, perbelanjaannya bukan daripada kerajaan.

Semalam, Guan Eng turut mendedahkan Lembaga Pengarah Lembaga Totalisator Malaysia sebelum ini pernah meluluskan dan menaja tiga lawatan kerja pegawai kanan PDRM ke luar negara.

Guang Eng berkata, lawatan itu membabitkan tajaan sebanyak RM69,763 bagi lawatan pada 12 hingga 17 Jun 2012, RM95,040 untuk lawatan pada 10 hingga 14 Jun 2013 dan RM128,400 bagi lawatan pada 1 hingga Mei 2014.-UTUSAN ONLINE