Tidak patut lantik pengarah terpalit rasuah
Ghazali Ansing

Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ghazali Ansing berkata, pelantikan berkenaan meskipun tidak salah tetapi berbaur politik dan bertentangan dengan manifesto Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam pilihan raya umum lalu untuk menginovasikan perkhidmatan awam negeri.

Sehubungan itu katanya, Amarjit tidak layak untuk menjawat jawatan itu, sebaliknya lebih banyak kakitangan awam lain yang boleh dijadikan calon sesuai untuk dinaikkan pangkat.

“Ini dapat dilihat kerana beliau merupakan seorang jurutera yang terpalit dengan kes loji rawatan air Sungai Intan, Semporna yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya tidak melihat lantikan beliau satu perlanggaran undang-undang kerana melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam negeri, namun pihak kerajaan harus mempertimbangkan kakitangan awam sedia ada dan telah berkhidmat lama dalam jabatan-jabatan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ghazali mengulas tentang pelantikan Amarjit ke jawatan itu selepas surat pelantikan beliau secara kontrak di bawah gred J54 yang berkuatkuasa 10 Ogos ini tersebar.

Amarjit merupakan salah seorang daripada beberapa individu termasuk Presiden Warisan yang Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang ditahan SPRM tahun lalu bagi membantu siasatan penyelewengan dana sehingga lebih RM1 bilion di dalam jabatan itu.

Kerajaan negeri bagaimanapun sehingga kini masih belum membuat kenyataan rasmi tentang pelantikan tersebut, namun beberapa sumber yang dihubungi telah mengesahkannya.

Ghazali berkata, lantikan berkenaan tidak sepatutnya berlaku jika Warisan berpegang kepada manifesto untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam negeri bukannya melantik orang luar yang juga bukan pengundi di negeri ini dalam pilihan raya umum lalu.

“Manifesto kelapan Warisan ialah menginovasikan perkhidmatan awam negeri iaitu memperbaiki pemilihan kenaikan pangkat, namun perkara ini tidak langsung ikut manifesto malah beliau diangkat dari luar untuk terus mengepalai jabatan tersebut.

“Saya nyatakan beliau adalah tidak layak kerana banyak lagi calon yang lebih sesuai boleh diketengahkan sebagai pengarah, lebih-lebih lagi beliau bukan pengundi berdaftar di negeri ini,” tambahnya.