Dalam hal tersebut, semua pihak kena jelas bahawa siasatan terhadap tiga individu ter­babit kerana kenyataan terbuka mereka mempertikai dan menghina kedudukan Sultan Muhammad V sebagai ketua kerajaan dan ketua agama Islam.

Pakar Perlembagaan Persekutuan, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman mengakui pihak polis mungkin perlu meneliti semula kenyataan yang dikeluarkan ti­ga individu itu, sama ada menghina

ABDUL AZIZ
ABDUL AZIZ 

atau menghasut.

“Kalau kita menghina, interpretasinya kena diteliti apa yang mereka kata kerana mungkin ia tidak termasuk dalam Ak­ta Hasutan jika tiada kecenderungan menghasut.

“Tetapi, netizen kena faham dan hormat Perlembagaan Persekutuan termasuk kedaulatan raja-raja, tidak boleh main-main kerana mereka adalah ketua kerajaan yang juga ketua agama Islam di negara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pe­muda Sosialis DAP (DAPSY) Subang Jaya, Farhan Haziq Mohamed dan Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan dalam satu kenyataan bersama menyifatkan tindakan polis adalah bertentangan dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dalam perkembangan sama, Abdul Aziz menegaskan, Akta Hasutan 1948 harus dipertahankan kerana peruntukan undang-undang itu bertujuan mempertahankan keselamatan dalam negara daripada isu-isu sensitif.

Jelas beliau, akta tersebut telah dipinda pada 1970 susulan peristiwa 13 Mei 1969 agar tiada mana-mana pihak boleh mempertikaikan Perkara 152 (bahasa kebangsaan ialah bahasa Me­layu), Perkara 153 (kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah, Sarawak) dan Perkara 181 (kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa raja-raja) Perlembagaan Persekutuan.

“Pihak yang mendakwa Akta Hasutan 1948 adalah undang-undang yang ketinggalan zaman sebenarnya mereka tidak mengetahui sejarah negara,” katanya.