Menceritakan pengalaman tersebut, Phua Joo Hee Alex, 59, berkata, pada masa itu pasukan bola sepak SK St. Thomas yang turut diwakili Sultan Abdullah bermain perlawanan separuh akhir bertemu pasukan dari SK Teruntum.

“Selepas separuh masa pertama, Sultan Abdullah maklum baginda hendak menggunakan bola milik baginda dan saya yang berada di bangku simpanan ketika itu terus berlari ke kelas kami di SK St. Thomas untuk ambil bola milik baginda.

“Kami menang perlawanan itu menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri 0-0 sehingga perlawanan berakhir. Bola yang digunakan ketika kami menang perlawanan itu adalah bola milik Sultan Abdullah,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Bercerita lanjut berhubung pengalaman bermain bola sepak bersama Sultan Abdullah, Alex berkata, dia bermain sukan berkenaan bersama Sultan Pahang itu bermula dari darjah lima.

“Pada waktu itu, hanya Sultan Abdullah yang mempunyai bola. Kami pada waktu itu mana mampu membelinya, jadi setiap hari Sultan Abdullah akan bawa bola ke sekolah untuk kami main bersama-sama,” katanya.

Mengulas pelantikan Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang dan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, dia berkata, sebagai bekas rakan sekelas, dia berasa berbangga baginda dilantik menjawat dua jawatan penting itu.

“Sultan Abdullah yang saya kenal adalah seorang yang sangat baik, tidak sombong dan boleh bergaul dengan semua kaum,” katanya.