Menjelaskan kekeliruan tentang dakwaan pegawai SB dihalang daripada menghadiri sidang media parti atau acara kerajaan negeri, beliau berkata, tiada halangan dikenakan dengan syarat mereka memperkenalkan diri.

“Kita tidak boleh membenarkan orang yang mengaku sebagai wartawan hadir dalam sesuatu acara. Ini akan mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Wong berkata, mereka harus memperkenalkan diri kepada penganjur majlis sama ada anggota polis atau wartawan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri itu berkata, pernah berlaku kejadian di mana individu yang tidak dikenali menyamar sebagai wartwawan menghadiri sidang akhbar.

“Atas sebab ini, sungguhpun mereka pegawai polis, adalah lebih baik sekiranya mereka memperkenalkan diri daripada berlakon seolah-olah mereka anggota media,” katanya.

Wong menafikan dakwaan bahawa pegawai SB memang sentiasa dihalang daripada menghadiri sidang akhbar oleh pemimpin Warisan kerana sepanjang pengetahuan beliau perkara itu hanya berlaku pada satu atau dua acara.

Dalam pada itu katanya, semua pihak termasuk anggota SB dialu-alukan menghadiri acara kerajaan negeri dan Warisan.

Beliau berkata, sidang akhbar merupakan acara spesifik anjuran kerajaan dan parti dari masa ke semasa sebagai pemberitahuan kepada rakyat tentang perancangan kerajaan dan sebagainya. - BERNAMA