Menurutnya, perkara itu adalah antara cabaran beliau menjadi Perdana Menteri kali kedua untuk negara ini sejak Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) lalu.

“Dahulu dan sekarang banyak beza, pada masa saya jadi Perdana Menteri pada 1981, saya masuk keadaan jentera kerajaan masih bersih cuma ada sedikit (gejala rasuah).

“Tetapi sekarang, kita dapati Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) ‘the most rasuah’ dia kata ‘cash is king’ dan kita dapati habis jentera kerajaan pun terlibat dan kita nak kena pilih dan tapis sebelum ambil tindakan.

“Jadi kalau kita ada suspek (rasuah) kita tidak boleh buang semua pegawai kerajaan yang kita suspek nanti kita tak ada jentera nak tolong jalankan tugas dan arahan-arahan kita,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan perutusan khas kepada ahli Parlimen dan anggota pentadbiran kerajaan pada Program Taklimat Governans, Integriti dan Anti Rasuah di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, sempena hari ulang tahun kelahiran beliau yang ke 93 hari ini, Perdana Menteri berhasrat untuk para media membantu kerajaan Pakatan Harapan mengatasi rasuah.-UTUSAN ONLINE.