Ahmad Zahid yang berusia 65 tahun berkata, dalam jangka masa panjang beliau sedia memberikan peluang kepada golongan muda untuk menerajui kepemimpinan negara termasuk di kawasan Parlimennya, Bagan Datuk, Perak.

"Saya tidak mahu bertanding lagi sehingga berusia 93 tahun. Cukup-cukuplah, beri peluang kepada anak-anak muda termasuk di Bagan Datuk sendiri.

"Saya tidak mahu menongkat langit," katanya pada majlis Aspirasi Transformasi Nasional (TN50) @Bagan Datuk yang diadakan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang dekat sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang merupakan Naib Presiden UMNO menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO berkata, berbekalkan keringat yang masih ada beliau akan terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara dan kawasan Bagan Datuk sekali pun sesuatu nikmat pembangunan itu hanya dirasai pada tahun 2050. - UTUSAN ONLINE