Difahamkan, enam daripada 22 penyewa bersama keluarga termasuk anak-anak mereka yang masih bersekolah tinggal di perkarangan Komtar selepas kediaman PPR itu dikunci Bahagian Perumahan kerajaan negeri manakala penyewa lain tinggal di surau serta menumpang di rumah saudara-mara berhampiran.

Sehingga hari ini, penyewa mendakwa tiada wakil daripada pihak kerajaan negeri datang berjumpa walaupun mereka telah ‘berkampung’ di Komtar.

Seorang penyewa, Nazrimah Jamal Abidin, 44, berkata, empat anaknya yang berusia 14 hingga tujuh tahun tidak dapat hadir ke sekolah sejak semalam ekoran kejadian tersebut.

“Macam mana anak-anak saya hendak ke sekolah, pakai­an, kelengkapan sekolah semua ada di dalam rumah yang telah dikunci.

“Pakaian kami semua orang bagi semalam, kami sekeluarga tidak akan berganjak dari tempat ini (Komtar) sehingga Ketua Menteri datang menyelesaikan masalah ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Komtar di sini hari ini.

Semalam, kira-kira 22 penyewa diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing selepas hilang kelayakan menduduki rumah PPR termasuk melebihi kemampuan, mempunyai rumah lain dan berkahwin dengan warga asing.

Anak kepada Nazrimah, Diyana Erdikah Mohd. Kadim, 14, yang merupakan pelajar di SMK (P) Methodist meluahkan rasa sedih apabila buat pertama kalinya terpaksa berdepan dengan pengalaman pahit diusir daripada kediaman tersebut.

“Kami memang orang susah, saya akan cuba baiki nasib keluarga menerusi pelajaran nanti tapi saya tidak dapat ke sekolah sejak semalam kerana rumah telah dikunci.

“Saya berharap dapat kembali ke rumah kerana banyak kenangan kami tinggal di sana, barang-barang persekolahan saya semua ada di sana,” katanya.