Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pakar perubatan yang menjalankan bedah siasat kira-kira sembilan jam ke mayat mangsa mendapati gadis itu meninggal dunia akibat kebocoran pada ususnya kerana tidak makan untuk tempoh yang panjang.

Katanya, pendarahan pada usus gadis itu mungkin disebabkan oleh kelaparan yang berpanjangan.

"Nora Anne didapati telah meninggal dunia antara dua hingga tiga hari. Tiada kesan atau tanda dia dirogol.

"Terdapat calar dan luka kecil pada kaki tetapi itu tidak boleh menyebabkan kematian pada mangsa," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Mayat Nora Anne ditemui kira-kira pukul 1.57 petang kelmarin oleh sekumpulan pendaki yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Gadis itu yang mengalami masalah pembelajaran dilaporkan hilang dari resort The Dusun Pantai Hill di sini pada 4 Ogos lalu semasa sedang bercuti bersama ibu, Maebh Jaseprine Quorin, 46, dan bapa, Sebastian Marie Philipe, 47, serta dua adiknya.

Semasa kejadian, mangsa tidur dalam bilik bersama Innes Julia, 12, dan Maurice Arthure, 8, sebelum adiknya mendapati gadis tersebut sudah tiada kira-kira pukul 8 pagi.

Mangsa bersama ahli keluarganya tiba di resort berkenaan pada pukul 7 pagi, 3 Ogos lalu.

Mohamad memberitahu, sehingga kini, tidak ada petunjuk bahawa mangsa telah diculik atau tertakluk kepada apa-apa bentuk keganasan. - UTUSAN ONLINE