Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, majlis itu berjalan lancar sejak bermula pukul 9 pagi sehingga kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sejam kemudian bagi merasmikan sambutan tersebut.

“Jika kata ada unsur boikot, pasti ada sepanduk yang dinaikkan pada majlis itu tetapi tiada.

“Sewaktu Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tiba pada majlis itu, pasti ada sorakan ‘boo’ tetapi tiada pula kedengaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sejak petang semalam, tular klip video di laman media sosial yang menunjukkan ucapan Mohamed Azmin ditenggelamkan oleh sorakan ‘boo’ dalam kalangan peneroka yang menghadiri Sambutan Hari Peneroka 2019.

Selain itu, turut tular klip video yang menunjukkan terdapat peneroka bangun meninggalkan majlis sewaktu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sedang berucap merasmikan sambutan berkenaan.

Berhubung tindakan peneroka bangun sewaktu Dr. Mahathir sedang berucap, Sulong Jamil berkata, tindakan itu disebabkan ada antara antara peneroka terutama yang berasa lapar kerana menunggu sejak pagi.

“Ini bukan kerana boikot tetapi ada peneroka yang berusia ini mereka lapar. Jadi ada dalam kira-kira 100 orang mereka keluar bagi mendapatkan makanan,” katanya. - UTUSAN ONLINE