Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Zubir Hamza berkata, ini berdasarkan pemeriksaan yang dibuat di 43 buah stesen minyak di seluruh negeri sejak 26 hingga 30 Disember lalu.

Katanya, sehingga hari ini juga tiada aduan atau maklumat diterima berhubung masalah mendapatkan bekalan atau terputus bekalan.

"KPDNHEP negeri akan terus mempertingkatkan pemeriksaan ke atas stesen-stesen minyak bagi memastikan bekalan ada dan mencukupi untuk keperluan pengguna," katanya selepas pemeriksaan di stesen minyak di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Seremban arah utara, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Seksyen dan Bekalan Harga dan Antipencatutan KPNHEP Putrajaya, Abdul Hafidz A. Rahim.

Menurut Zubir, jika perniagaan stesen minyak terputus bekalan, ia adalah kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana melanggar atau tidak mematuhi syarat-syarat lesen bagi memastikan bekalan petrol dan diesel di premis mencukupi untuk jualan harian.

Ujarnya, pengusaha stesen minyak yang gagal memastikan bekalan mencukupi boleh dihukum di bawah Akta Bekalan 1961 iaitu denda tidak melebihi RM1 juta dan penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu.

Katanya, bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda tidak melebihi RM5 juta. - UTUSAN ONLINE