Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pembinaan dewan orang ramai di atas tanah tersebut adalah atas persetujuan bersama pemilik tanah dan bukannya dilakukan atas kepentingan tertentu.

“Kita kena lihat kepada Kanun Tanah Negara, di mana peraturannya, apa juga yang tumbuh dan ada atas tanah itu adalah kepunyaan tuan tanah. Misalnya, jika saya membina rumah di atas tanah kerajaan, maka itu hak kerajaan begitu juga sebaliknya.

“Oleh sebab ada dewan yang dibuat di atas persendirian, maka tuan tanah punyalah. Tiada salah guna kuasa. Kedua-dua pihak setuju dimana tuan tanah setuju kerajaan bina dewan di atas tanah dia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Siput yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian, Datuk Zolkafly Harun di Pusat Konvensyen Sungai Siput di sini hari ini

Saarani berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan yang mendakwa sikap kerajaan terdahulu membenarkan dewan orang ramai dibina di atas tanah persendirian telah menyukarkan rakyat menggunakannya selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.

Sementara itu mengulas dakwaan Sivanesan bahawa Arena Square Tapah tidak boleh digunakan kerajaan kerana dikatakan milik UMNO, Saarani berkata, pembinaan bangunan tersebut sememangnya di atas tanah milik UMNO.

“Arena Square Tapah memang UMNO punya, jadi UMNO pakailah. Sebab itu kita buat mesyuarat di sana, hak kita,” katanya.-UTUSAN ONLINE