MAS ERMIEYATI SAMSUDIN

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menegaskan, di peringkat antarabangsa tiada polisi sedemikian diamalkan kerana selain tidak adil kepada golongan wanita yang mahu bekerja dalam sektor perhotelan, tindakan itu menyalahi Perlembagaan Persekutuan iaitu kebebasan ber­agama yang menjadi tunjang kestabilan negara.

Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO tidak gembira dan tidak bersetuju de­ngan garis panduan tersebut.

“Polisi melarang wanita bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pe­langgan hotel adalah satu tindakan yang tidak adil kepada go­longan wanita yang mahu bekerja da­lam sektor berke­naan, malah di pe­ringkat antarabangsa juga tiada polisi sedemikian.

“Majikan Malaysia perlu tahu Perlembagaan Persekutuan iaitu kebebasan ber­agama yang menjadi tunjang kestabilan dan harus dihormati,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Puteri UMNO negeri yang disempurnakan Pengerusi Badan Perhubu­ngan UMNO negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob di sini hari ini.

Yang hadir sama Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan dan Ketua Puteri UMNO negeri, Azlina Azma Mohd. Azmi.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dilapor mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan.

Malah, MAH menafikan larangan yang dikenakan itu adalah satu bentuk diskriminasi, sebaliknya mendakwa itu adalah sebahagian daripada polisi antarabangsa.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, setiap hotel terutama hotel antarabangsa di Malaysia mempunyai prosedur operasi stan­dard (SOP) dan po­lisi syarikat yang di­tetapkan.

Sebelum ini, Maj­lis Rangkaian Kesa­tuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan, kakitangan hotel mengadu tentang diskriminasi terhadap pekerja wa­nita Islam yang diarah­kan menanggalkan tudung mereka.

Mas Ermieyati me­­negaskan, isu ter­sebut tidak sepatutnya timbul ketika negara menuju ke arah Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Isu ini perlu diberi perhatian serius oleh setiap pemimpin dan majikan,” katanya.