Walaupun telah banyak subsidi dan bantuan yang diberikan, Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, golongan itu masih tidak berjaya mengeluarkan diri mereka daripada kumpulan ekonomi B40.

"Itu perkara yang kita akui. Kita tidak menyembunyikan sebarang pencapaian. Jadi kementerian mengambil tanggungjawab untuk mendepani permasalahan berkenaan.

"Itu fokus utama kementerian iaitu dalam meningkatkan produktiviti serta memastikan segala bantuan insentif dan subsidi pada masa akan datang menumpukan kepada golongan sasar," katanya kepada pemberita selepas  menyempurnakan Majlis Amanat 2019 Bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, proses pemutihan perlu dilakukan bagi memastikan segala insentif bantuan kerajaan dapat sampai ke golongan sasar.

Sekiranya proses pemutihan itu tidak dilakukan jelas beliau, dikhuatiri segala faedah daripada bantuan tersebut akan diperoleh oleh mereka yang tidak sepatutnya.

"Saya akan memberi sokongan padu kepada pegawai-pegawai kementerian yang mengambil tanggungjawab dalam melaksanakan proses pemutihan ini. Saya faham ia tidak mudah," katanya.

Ditanya sama ada proses pemutihan masih dijalankan, Salahuddin menjelaskan, proses melibatkan golongan nelayan dan pesawah sudah hampir selesai namun ia adalah satu proses sepanjang masa.

"Sebagai contoh, ada nelayan yang mendaftarkan anak-anak mereka sekali untuk bantuan itu. Anak-anak mereka sudah bekerja di Singapura dan Kuala Lumpur.

"Itu yang harus kita perhatikan... Kita tidak zalim tetapi kita mahu memberi hak kepada kumpulan yang selayaknya," katanya.

Salahuddin ketika berucap pada majlis tersebut turut menggariskan lima hala tuju kementerian bermula tahun ini yang dirangka dengan memberi penumpuan kepada tiga dimensi agromakanan iaitu keselamatan makanan negara, pembangunan ekonomi luar bandar serta pelaburan swasta dan perdagangan. - UTUSAN ONLINE