Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, cadangan penubuhan MTSB yang dijangka dibawa ke Parlimen tahun hadapan, juga tidak akan melibatkan peruntukan kewangan yang besar sekali gus tidak membebankan kerajaan.

Jelasnya, MTSB merupakan sebuah badan yang menyiasat punca kemalangan semua mod pengangkutan di negara ini dan tidak menggangu siasatan melibatkan pihak lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

"Kita nak tubuhkan MTSB ini supaya (siasatan) lebih komprehensif dan supaya apa-apa punca kemalangan itu dapat dikenal pasti dengan lebih tepat. Kalau berlaku apa-apa kemalangan, maka MTSB ada kuasa untuk menyiasat.

“Selain itu, kita juga melakukan penstrukturan semula tugasan agensi kerajaan sekiranya draf penubuhan MTSB diluluskan di Parlimen yang dijangka akan dibentangkan pada pertengahan tahun depan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), MIROS dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kementerian Pengangkutan, di sini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UiTM, Dr. Mohd Fozi Ali; Ketua Pengarah JPJ, Datuk Shaharuddin Khalid; Ketua Pengarah MIROS, Dr. Siti Zaharah Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd. Rani Hisham Samsudin.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kerajaan akan menubuhkan MTSB tahun depan bagi menyiasat kes-kes kemalangan jalan raya di negara ini.

Penubuhan lembaga itu merupakan antara cadangan Panel Kaji Semula Syor (RRP), sebuah panel bebas diwujudkan oleh kementerian, bagi keperluan untuk menubuhkan agensi khas bagi menyiasat kemalangan jalan di seluruh negara.

Draf akta bagi penubuhan lembaga itu sedang digubal dan akan dibentangkan di Parlimen pada suku pertama tahun hadapan.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, beliau berharap sekiranya MTSB dapat ditubuhkan, ia mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.

Jelasnya, kekerapan kemalangan jalan raya contohnya di Terowong Menora di Kuala Kangsar, Perak perlu dipandang serius.

“Segala perancangan ini dilaksana dengan penuh iltizam. Selain itu, pemandu kenderaan di negara ini juga perlu berubah sikap.

“Bagaimanapun, kerajaan akan terus melakukan pelbagai kempen untuk mengurangkan kemalangan jalan raya dan mengetatkan undang-undang,” katanya. - UTUSAN ONLINE