Syarikat penerbangan tambang murah itu dalam kenyataannya hari ini memberitahu, setiap penumpang yang membuat pendafaran masuk secara dalam talian atau mudah alih diperlukan untuk mencetak sekiranya mereka menerima pas pelepasan yang disertai kod bar 2D sahaja.

Cetakan itu diperlukan untuk membolehkan petugas AirAsia melakukan pemeriksaan kesahihan tiket yang dibeli.

“Sekiranya penumpang telah menerima pas pelepasan E-Boarding (mengandungi kod QR) sewaktu membuat daftar masuk mudah alih, mereka dibenarkan untuk terus menaiki pesawat.

“Jika mereka hanya menerima pas pelepasan dengan kod bar 2D, penumpang perlu mencetakkanya untuk ditunjukkan kepada petugas di pintu pelepasan. Perkara ini ada dinyatakan dalam panduan daftar masuk dalam talian dan mudah alih di laman web AirAsia,” kata kenyataan syarikat penerbangan itu.


Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan dakwaan mengatakan semua penumpang perlu mencetak pas pelepasan di kiosk atau kaunter di lapangan terbang walaupun sudah melakukan daftar masuk menerusi online.


AirAsia juga memaklumkan, piawai prosedur operasinya telah menetapkan penumpang perlu berada di pintu pelepasan 45 minit sebelum penerbangan berlepas.

“Piawai itu ditetapkan agar para petugas AirAsia dapat menguruskan penumpang dan memastikan semua perkara berkait dengan penerbangan itu berada dalam keadaan baik,” kata kenyataan itu lagi. - UTUSAN ONLINE