Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebarang perubahan format tersebut akan melibatkan banyak perkara terutama kaedah peng­agihan markah kepada calon-calon UPSR.

“Banyak yang perlu dipertimbangkan jika mahu mengubah format UPSR yang digunakan sekarang seperti aspek penilaian pembahagian markah dan beberapa lagi perkara.

“Guru akan memberi markah bukan berdasarkan akademik sahaja tetapi juga kurikulum dalam keputusan UPSR murid. Kaedah ini sudah dilaksanakan sejak tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya di sini hari ini.

Dalam lawatan sempena hari pertama UPSR, beliau diiringi Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Maimunah Suhaibul dan beberapa pegawai kanan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.

Seramai 443,793 calon menduduki peperiksaan UPSR di seluruh negara tahun ini di 8,085 pusat peperiksaan yang dibuka sehingga Khamis ini.

Daripada jumlah itu, seramai 433,536 adalah calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan manakala calon sekolah swasta pula seramai 10,258 orang.

Mahdzir berkata, UPSR tahun ini juga melibatkan seramai 51,363 petugas peperiksaan yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan bagi memastikan peperiksaan selama empat hari itu berjalan lancar.

Menurutnya, beliau turut berpuas hati dengan persiapan UPSR di semua sekolah.

“Apa yang penting, calon-calon perlu menjawab soalan dengan tenang. Selain itu, kita mengharapkan tiada perkara tidak diingini berlaku seperti banjir yang boleh menjejaskan perjalanan UPSR,” ujarnya.