Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sesebuah negara yang mencapai status maju tidak memberi makna besar sekiranya rakyat masih tidak memiliki rumah dan hidup menderita.

Sehubungan itu, ujarnya, kerajaan akan sedaya upaya mengotakan janji menyediakan satu juta rumah mampu milik walaupun mengalami masalah kewangan dengan menjalinkan kerjasama bersama pihak swasta.

“Tidak ada makna negara maju kalau rakyat hidup menderita, hidup dalam keadaan tidak selesa, hanya dapat melihat sahaja kemajuan dicapai negara tetapi tidak dapat menikmati kemajuan ini.

“Oleh itu, kita akan lihat ada tempat kerajaan bangunkan rumah, ada tempat lain yang swasta akan bangunkan rumah. Saya yakin pihak swasta prihatin dengan masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pelancaran Dasar Komuniti Negara di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo. - UTUSAN ONLINE