Pengerusi Nekmat Ahmad Rudin Hussain berkata dakwaan itu tidak logik kerana nelayan yang berdaftar menerima Elaun Sara Hidup Nelayan (ESH) sebanyak RM300 sebulan dan adalah tidak wajar kalau pendapatan hasil laut hanya RM200 sebulan.

"Tiada lagi nelayan di Semenanjung yang berpendapatan putara RM500 sebulan melainkan nelayan terbabit tidak berdaftar.

"Berdasarkan kajian analisis kos dan pulangan yang dilaksanakan Jabatan Perikanan, kebanyakan nelayan berpendapatan purata antara RM1,200 hingga RM2,000 sebulan," katanya dalam kenyataan hari ini bagi membidas kenyataan dibuat pemimpin pembangkang Terengganu itu.

Ahmad Rudin berkata kerajaan sentiasa komited dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan memastikan kebajikan nelayan di seluruh negara.

"Antara usaha yang telah dilaksanakan ialah pemberian subsidi diesel dan petrol untuk mengurangkan kos operasi tangkapan ikan, insentif hasil tangkapan ikan, bantuan perumahan nelayan, pembangunan tukun tiruan dan projek Sistem Identifikasi Automatik (AIS)," katanya.

Ahmad Rudin berkata Nekmat juga sentiasa mengalu-alukan apa sahaja bentuk kerjasama daripada pelbagai pihak, demi kebaikan masyarakat nelayan. - BERNAMA