Kira-kira 50 nelayan tempatan berhimpun secara aman bagi menyatakan perasaan mereka sempena kehadiran Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dalam majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Nelayan Terengganu di Pelabuhan Cendering di sini.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya Salahuddin memberitahu, bot laut dalam milik nelayan asing tidak akan dibenarkan menangkap ikan di perairan negara dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun lagi setelah baiki 40 lesen yang dikeluarkan tamat tempoh.

Sehingga kini katanya, Jabatan Perikanan sudah membatalkan 303 lesen bot laut dalam daripada 343 yang dikeluarkan  termasuk 176 kepada warga Vietnam manakala selebihnya kepada warga Thai.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan diterajui Barisan Nasional sebelum ini telah mengeluarkan 343 permit menangkap ikan kepada nelayan dari dua negara itu bagi mengatasi masalah kekurangan bilangan nelayan laut dalam tempatan dan bekalan ikan pada masa itu.

“Pemberian lesen itu telah dibekukan sejak Oktober 2017 berikutan banyak berlaku kes penyalahgunaan sehingga menjejaskan nelayan tempatan dan sumber hasil laut negara. Setakat ini, 303 lesen telah dibatalkan oleh Jabatan Perikanan. 

“Bakinya  akan turut dimansuhkan secara beransur-ansur dalam tempoh dua, tiga tahun lagi,” katanya dalam majlis yang turut dihadhiri, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim.

Nelayan tempatan mendakwa pemberian lesen penangkapan ikan kepada nelayan Vietnam telah menggalakkan kewujudan bot klon yang merupakan antara taktik digunakan untuk menceroboh perairan Pantai Timur.

Kumpulan nelayan tersebut mendesak agar kerajaan bertindak  menghapuskan perbuatan ‘mengalibabakan’ lesen  kepada nelayan asing yang meningkatkan lagi kegiatan mengaut hasil laut  untuk dibawa ke negara mereka.

Sementara itu, beliau juga memberitahu, pihak kementerian  akan melakukan proses pemutihan untuk memastikan daripada 55,000 orang yang didaftarkan, hanya yang benar-benar nelayan dan berhak akan menerima bantuan elaun sara hidup dan manfaat daripada skim-skim lain yang disediakan.

Beliau memberitahu, proses pemutihan penting bagi membolehkan data-data terkini berkaitan golongan nelayan dikumpulkan sebelum sebarang bantuan kepada golongan itu disalurkan dengan sebaik mungkin. - UTUSAN ONLINE