Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Sukan dan Keagamaan Dewan Muda Johor (DMJ), Nur Faizal Kasri berpendapat, pada zaman sekarang, kelembutan tidak boleh lagi dijadikan alasan untuk penghina agama Islam tidak diambil tindakan kerana dikhuatiri akan mengguris hati orang Islam jika dibiarkan tanpa tindakan tegas.

“Perkara 3(1) dalam perlembagaan Malaysia ada menyebutkan bahawa Islam ialah agama bagi persekutuan. Itu bermakna Islam diletakkan pada kedudukan tertinggi dalam Perlembagaan negara yang mengatasi agama lain.

“Namun, akhir-akhir ini Islam dilihat menjadi sasaran penghinaan oleh mereka yang terdiri daripada golongan liberal (samada muslim dan bukan muslim) dan penganut agama lain, ia dilihat lebih ‘rancak’ berlaku selepas bertukarnya kerajaan Pusat.

“Justeru, DMJ mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas kepada para penghina agama Islam yang melakukan perbuatan itu secara terang-terangan terutama dalam media sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, mengambil tindakan ke atas penghina agama bukan menunjukkan tiada kebebasan bersuara tetapi bertujuan untuk mendidik mereka bahawa negara ini ada Perlembagaan dan ada Rukun Negara yang perlu dipertahankan.

Nur Faizal turut mempersoalkan sampai bila penghina agama Islam di negara ini akan dibiarkan tanpa dikenakan sebarang tindakan setimpal dan adakah cukup sekadar permohonan maaf sahaja.

“Sampai bila orang Islam akan dimomokkan dengan slogan ‘Rahmatan Lil Alamin’ (rahmat kepada sekalian alam) seperti yang sering dilaungkan oleh Menteri Agama dengan tafsiran yang salah? Sampai bila,” soalnya. - UTUSAN ONLINE