Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Jusoh berkata, setakat hari ini tiada sebarang kes atau wabak leptospirosis yang melibatkan tempat perkelahan seperti di Kolam Air Panas La, Lata Tembakah, Lata Belatan dan Lata Kolam.

Katanya, berdasarkan data analisa terdapat tujuh kes leptospirosis direkodkan di daerah Besut.

"Daripada tujuh kes yang dilaporkan, hanya satu sahaja kes yang mempunyai sejarah memancing di Sungai Tembila manakala enam kes lagi hanya berada di sekitar rumah.

"Justeru kita minta semua pihak agar tidak menularkan isu atau fakta yang tidak sahih," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mesej tular itu melarang orang awam mandi-manda dan berkelah di sekitar kawasan Kolam Air Panas La, Lata Tembakah, Lata Belatan dan Lata Kolam kerana dikatakan ada kaitan kes kencing tikus.

Kandungan mesej itu turut menyatakan yang beberapa pelajar sekolah telah dikejarkan ke hospital setelah pulang berkelah di Kolam Air Panas La pada minggu lalu akibat disahkan dijangkiti virus kencing tikus.

Mohd. memberitahu, isu yang sama itu pernah ditularkan di laman Facebook pada April tahun lalu.

Beliau seterusnya menasihatkan orang awam agar merujuk dahulu kepada pihak Jabatan Kesihatan negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang berkaitan bagi pengesahan. - UTUSAN ONLINE