Sehubungan dengan itu Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penilaian yang dibuat kementerian setakat ini tidak ada keperluan terdesak untuk menambah bilangan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) seperti tuntutan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong).


Selain itu, katanya, kerajaan baru sahaja meluluskan pembinaan 10 SJKC yang mengambilkira faktor berkenaan di Johor dan Selangor. 


“Buka sekolah ini samada di kawasan bandar atau luar bandar adalah berasaskan kepada pertumbuhan kepadatan penduduk setempat. Kalau kita tengok di situ ada banyak kawasan pembangunan, kilang dan penduduk yang banyak di sana dan ia memerlukan sekolah, maka kita akan bina.


“Kalau berasaskan tuntutan (Dong Zong) ini tidak ada keperluan terdesak kerana penilaian dibuat berdasarkan kepadatan penduduk. Tak perlu lagi kerana sehingga ini kementerian luluskan 10 SJKC di Johor dan Selangor berasaskan kepadatan penduduk di kawasan itu. Sekolah-sekolah ini akan siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan tengah hari bersama kakitangan kesihatan daerah di pekarangan Pejabat Kesihatan Padang Terap di sini hari ini.


Mahdzir mengulas tentang laporan tuntutan Dong Zong yang mendesak kerajaan membina 34 lagi SJKC setelah 10 SJKC baharu diluluskan pada akhir tahun lepas.