Beliau berkata, dasar agama kerajaan China memberikan banyak kebebasan kepada rakyatnya, malah ia dilindungi oleh Perlembagaan China.

“Secara peribadi, saya berpendapat laporan oleh media Barat (mengenai kekejaman) sebenarnya telah dipesongkan atau sengaja diperbesarkan, saya rasa tidak ada kekejaman atau diskriminasi terhadap kaum Uighur di Xinjiang.

“Sudah tentu bagi setiap perbuatan jenayah, keganasan, aktiviti haram - ia perlu dibanteras. Ia juga adalah cara untuk melindungi hak semua rakyat. Ada juga tindakan diambil bagi menghalang aktiviti-aktiviti keganasan, tapi tindakan itu bukannya disasar kepada mana-mana agama atau kumpulan etnik,” katanya kepada para wartawan yang dibawa melawat ke Ibu pejabat CIA di sini, menerusi penterjemah.

Lima wartawan dari Malaysia dan enam dari Indonesia berada di sini bagi program ASEAN Elites China Tour 2019 atas undangan China International Publishing Group (CIPG) bagi melihat sendiri pusat pendidikan latihan vokasional di wilayah Xinjiang, dan memahami lagi dasar-dasar berkaitan agama dan etnik di China.

Malaysia dan Indonesia adalah dua negara majoriti Muslim terbesar di Asia Tenggara dan negara anggota perkumpulan Asean.

Sepanjang lawatan 10 hari itu, para wartawan itu juga akan melawat tempat-tempat menarik dan penting seperti pertubuhan China Islam, Dongsi Mosque, China International Publishing Group (CIPG), ASEAN-China Centre (ACC), Olympic Park, Bird’s Nest and Water Cube, Palace Museum (Forbidden City), dan Tian’anmen Square di Beijing.

Sejak kebelakangan ini beberapa artikel melaporkan bahawa kaum Muslim Uighur dan minoriti Muslim di timur China didakwa telah didiskriminasi dan ditahan, yang mencetuskan beberapa kebimbangan dalam komuniti dunia.

Abdul Amin berkata, kaum Muslim di China menikmati kebebasan beragama, dan sehingga kini terdapat 35,000 masjid dan kira-kira 45,000 ‘imam’ di seluruh China.

Dengan jumlah 1.4 bilion penduduk, China merupakan negara paling padat di dunia, dan menurut Kertas Putih yang dikeluarkan oleh State Council Information Office di China sehingga April 2018, negara itu mempunyai 20 juta rakyat dari kalangan kaum Muslim.

“Di Beijing, sama seperti negara-negara yang memiliki penduduk Muslim yang lain, bukan hanya bulan Ramadan, malah setiap hari masjid dibuka kepada jemaahnya, dan mereka boleh mengunjungi masjid pada bila-bila masa, bebas untuk beribadat,” katanya.

Abdul Amin berkata, kaum Muslim di China bebas untuk menikmati makanan halal dan pada masa yang sama kerajaan China memiliki dasar-dasar yang menyokong perniagaan makanan halal.

Dasar-dasar yang ‘menyokong’ ini juga boleh dilihat menerusi pelbagai usaha kerajaan China yang lain, contohnya yang berkaitan majlis pengebumian, di mana bagi majlis pengebumian kaum Muslim, mereka dibenarkan untuk ditanam di tanah perkuburan, dan bukannnya dibakar, sebagaimana yang menjadi dasar umum di negara itu.

“Contohnya di Beijing, terdapat 200,000 penduduk muslim di sini, beberapa tahun lepas tanah perkuburan bagi kaum Muslim sudah kehabisan, jadi kerajaan kemudiannya mengeluarkan belanja besar bagi menyediakan kawasan khusus untuk dijadikan tanah perkuburan buat kaum Muslim,” katanya.

CIA yang ditubuhkan pada 1953, mewakili badan Islam China, yang menyediakan perkhidmatan dan pengurusan kepada masjid di seluruh negara itu, di samping bertanggungjawab melaksanakan penyelidikan berhubung kebudayaan Islam. – BERNAMA