Adik beradik yatim piatu ini tetap tinggal sebumbung demi ikatan kasih selepas kematian ibu mereka baru-baru ini, manakala bapa mereka pula meninggal dunia dua tahun yang lalu.

Segala tanggungjawab kini di­pikul abang sulung mereka, Muhamad Zulqarnain Mohd. Bakh­rudin, 20, manakala adik keduanya, Maykal, 19, mengambil alih tugas ibu mengurus makan pakai mereka sekeluarga.

Bagaimanapun, sehingga hari ini Muhammad Zulqarnain gagal mendapatkan pekerjaan walaupun telah berusaha mencari pendapatan tetap dan mereka sekeluarga hanya mengharapkan sumbangan orang kampung untuk terus hidup.

Zulqarnain ketika ditemui berkata, dia juga tidak mengambil slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak tiga tahun lalu kerana gagal melunaskan yuran sejak tingkatan tiga.

“Masalah sama juga turut dihadapi adik keempat saya yang gagal melangsaikan bayaran yuran dan tahun ini bakal menduduki ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), semua adik-adik termasuk bongsu ba­ru umur lapan tahun masih sekolah kecuali Maykal.

“Selain masalah persekolahan adik-adik, saya bimbang ten­tang bil elektrik yang tertunggak sebanyak RM378.60 dan berharap ada insan sudi membantu,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Kelab Volenteer I Care (VIC) Muhammad Afiq Aiman Sukry di sini hari ini.

Ketika kunjungan tersebut, Mu­hammad Afiq menghulurkan bantuan berbentuk bara­ngan dapur untuk keluarga itu.

Sementara itu, Muhammad Afiq berkata, kekangan kewa­ngan pastinya menggagalkan me­reka membawa wang saku sekolah dan makan apa sahaja yang ada di dapur rumah untuk mengalas perut ke sekolah.

“Zulqarnain dan adik perem­puannya Maykal buat masa se­karang tidak mempunyai pen­­­dapatan tetap kerana ma­sing-masing mengambil tugas sebagai pengganti ayah dan ibu dalam menjaga, menghantar dan menguruskan keluarga.

“Segala perbelanjaan sekolah dan barangan dapur buat masa ini disumbang penduduk kampung yang membantu sekadar yang termampu,” katanya.

Sebarang pertanyaan bagi me­nyalurkan bantuan, orang ramai boleh menghubungi Sekretariat VIC di www.wasap.my/60199344077/AnakYatim8Beradik.