Perbadanan Putrajaya (PPj) dalam satu kenyataan hari ini berkata, insiden seperti di dalam gambar sebuah kereta peronda polis yang diapit tayarnya, yang menjadi viral di media sosial semalam, sah di sisi undang-undang di bawah peruntukan seksyen 48, Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan halangan lalu lintas.

"Penguatkusaan ini perlu diambil bagi memastikan tiada unsur ‘double standard' dalam melaksanakan penguatkuasaan," kata Pengarah Bahagian Penguatkuasaan PPj, Muhamad Irwan Abdullah dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Irwan lagi, insiden semalam berlaku apabila penguatkuasanya mendapati kenderaan tersebut diletakkan di kawasan yang dilarang, iaitu di bahu jalan di Jalan P2P berhampiran Menara Usahawan, Presint 3, yang mana merupakan lokasi apitan.

"Usaha untuk menghubungi pemandu kenderaan itu di sekitar lokasi gagal, sekaligus tindakan mengapit tayar dilakukan oleh anggota penguatkuasa."

Penguatkuasaan zon apitan dan tundaan ini telah dilaksanakan oleh PPj sejak 1 April 2017, dan orang ramai boleh memuat turun 'Panduan Zon Apitan, Tunda dan Kawasan Letak Kereta Di Putrajaya' dari laman web rasmi PPj, www.ppj.gov.my.

Semalam, sebuah gambar yang menunjukkan sebuah kereta peronda polis diapit tayarnya menjadi viral di media sosial, sekaligus mengundang pelbagai persepsi orang ramai. - UTUSAN ONLINE