Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, mereka yang terlibat boleh membuat permohonan terus kepada Lembaga Peperiksaan bagi mendapatkan semula sijil SPM ganti.

“Bagi mendapatkan semula sijil peperiksaan ganti, mereka perlu menyertakan bersama-sama dengan bukti sebagai mangsa banjir,” katanya selepas majlis sambutan Hari Integriti Kementerian Pendidikan yang julung kali diadakan di kementerian itu di sini hari ini.

Lembaga Peperiksaan mene­tapkan bayaran bagi setiap salinan sijil peperiksaan sebanyak RM30 dan borang permohonan boleh didapati melalui kaunter atau memuat turun daripada laman web Lembaga Peperiksaan.

Sementara itu, beliau menasihatkan kira-kira 5,000 kakita­ngan kementerian tersebut agar mengelak daripada terlibat de­ngan kes berkaitan tatatertib.

Ini kerana katanya, kementerian telah mengendalikan sebanyak 3,450 kes tatatertib di bawah pelbagai kesalahan sejak 2010 hingga tahun ini.

Katanya, antara kes terting­gi dicatatkan adalah melibatkan kesalahan tidak hadir bertugas iaitu sebanyak 1,912 kes.

“Terdapat satu kes seorang penjawat awam yang juga kakitangan kementerian ini tidak hadir bertugas selama 2,002 hari atau lima tahun dan akhirnya dia dibuang kerja.

“Harus diingat ini adalah soal integriti, ini bukan sahaja berkaitan penyelewengan dan rasuah, tetapi termasuk kesalahan lari daripada tugasan, tidak hadir bertugas dan prestasi yang rendah,” katanya.