Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, kesatuan ummah menjadi aspek utama dalam membina sebuah negara yang berdaulat.

"Bagaimanapun, tidak perlu dibimbangi kerana penyatuan ummah itu tidak akan mengasingkan mana-mana kaum di negara ini.

"Apabila Melayu bersatu, ia akan menjadikan Malaysia lebih aman dan makmur. Jika ini berlaku, sudah pasti ia akan memberi manfaat kepada semua masyarakat termasuk orang bukan Melayu," katanya di sini hari ini.

Semalam, penganjuran Himpunan 3 Menteri Besar Pantai Timur di Terengganu melakar sejarah tersendiri apabila tiga teraju kerajaan negeri pembangkang disatukan di pentas sama dengan acara kemuncak membabitkan ucapan ketiga-tiga pemimpin berkenaan.

Tiga pemimpin berkenaan adalah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Haslihelmy berkata, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini, pihaknya akan terus memberikan sokongan padu jika program sedemikian diadakan.

"Semalam di Terengganu saya bersama 88 ahli PSAP hadir ke program itu demi perpaduan ummah," katanya. - UTUSAN ONLINE