Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas berkata, ini kerana bidang kesusasteraan sebenarnya menjadi sebahagian daripada sejarah Kumpulan Utusan sejak lebih tujuh dekad lalu.

“Kami akan terus menyokong bidang kesusasteraan Melayu kerana ia mempunyai denyut nadi sama dengan bidang ke­wartawanan, bak kata Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, irama dan lagu tak dapat dipisahkan.

“Biarlah nama Kumpulan Utusan terus sinonim dengan pembangunan kesusasteraan Melayu di negara ini dan menjadi impian kami agar satu masa nanti penulisan sasterawan negara dilihat setaraf dengan sasterawan antarabangsa bukan sahaja dari aspek estetika malah nilai pemikirannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2016, di sini hari ini.

Mohd. Noordin berkata, sejak diperkenalkan pada 1995, HSKU terus unggul dalam kalangan pencinta sastera tanah air sebagai sebuah sayembara sastera yang paling berprestij di negara ini.

“Kumpulan Utusan amat berbesar hati dan menghargai sokongan syarikat korporat dan agensi kerajaan bagi memastikan kelangsungan penganjuran ha­diah sastera ini demi mencungkil bakat karyawan pelapis muda selain menghargai penulis sedia ada.

“Kami juga berharap kerjasama ini dapat diteruskan dan diperluas agar dunia kesusaste­raan Melayu terus bergema di negara ini,” katanya.

Katanya, bidang kesusaste­raan Melayu mempunyai peranan yang tersendiri dalam usaha kerajaan memperteguhkan jati diri masyarakat dalam menghadapi cabaran masyarakat global masa kini.