KUALA LUMPUR 16 April - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan dengan semua penyandang kerusi Parlimen Barisan Nasional (BN) di Putrajaya hari ini yang sekali gus menandakan senarai calon parti itu bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kini berada di peringkat akhir untuk dimuktamadkan.
Difahamkan pendekatan baharu Najib itu bertujuan bagi memastikan kesemua penyandang bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sama ada kekal, digugurkan atau bertukar tempat termasuk bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sumber memberitahu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan seumpama itu bagi memastikan BN benar-benar bersedia dalam membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya yang dianggap ‘bapa segala pilihan raya’.
“Maknanya melalui pertemuan tersebut, kalau ada antara penyandang digugurkan, mereka sudah mendapat isyarat awal, sekali gus mengelakkan sebarang situasi yang boleh menjejaskan parti,’’ kata sumber berkenaan ketika dihubungi.
Dalam pertemuan di Kompleks Seri Perdana itu yang dihadiri sebahagian besar Ahli Parlimen BN, Perdana Menteri meminta kesemua mereka akur dengan apa juga keputusan pucuk pimpinan berhubung kedudukan masing-masing.
Ketika ditemui pemberita, beberapa pemimpin BN menjelaskan, salah satu mesej terpenting Perdana Menteri ialah meminta mereka setia kepada parti jika digugurkan.
Penyandang kerusi Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, dalam pertemuan itu Perdana Menteri mengucapkan terima kasih atas sumbangan berkhidmat untuk parti dan memberi isyarat ada dalam kalangan mereka yang akan digugurkan.
“Perdana Menteri mahukan mereka tidak kecewa jika tiada disenaraikan dan terus memberikan khidmat kepada parti kerana tegas beliau, dalam hidup ini tidak semua yang kita mahukan akan tercapai,’’ katanya.
Sambil menjelaskan Pengerusi BN itu kelihatan ceria ketika memberi mandat kira-kira 15 minit, Ikmal Hisham berkata, Najib juga mengharapkan mereka yang tidak dicalonkan semula tidak merajuk dan beliau sentiasa terbuka untuk membantu.
“Nampaknya Perdana Menteri memberi isyarat ada dalam kalangan kami yang tidak akan dipilih bertanding semula dan mengharapkan diterima dengan terbuka,’’ katanya yang dijangka terus diberi mandat mempertahankan kerusi Parlimen Tanah Merah.
Sementara itu Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim turut mengesahkan nasihat Perdana Menteri supaya semua penyandang kerusi Parlimen BN yang tidak dicalonkan semula terus taat dan menunjukkan kesetiaan tinggi terhadap parti dalam menghadapi PRU-14.
“Perdana Menteri menyentuh tentang semangat setiakawan, walak (taat) dan kekeluargaan bagi memenangi PRU-14. Kami sebagai ahli keluarga BN akan tetap berpegang kepada prinsip walak,” katanya.
Dalam pada itu penyandang kerusi Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, semua yang hadir dalam pertemuan tersebut berpuas hati dengan amanat yang diberikan oleh Perdana Menteri.
“Ini merupakan pendekatan baharu yang dilakukan oleh Perdana Menteri. Dalam pertemuan itu, beliau memberitahu ada yang akan naik (dicalonkan) dan turun,” katanya.
Penyandang kerusi Parlimen Tapah yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, Datuk Seri M. Saravanan pula berkata, ucapan yang disampaikan oleh Perdana Menteri sangat meyakinkan terutamanya dalam menanam semangat kepada ahli BN.
“Amanat disampaikan ialah menjaga parti dan BN, sama ada menjadi calon atau tidak, kita perlu tetap bersama BN,” katanya