Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, inovasi bukan hanya untuk penggiat industri seperti Steve Jobs dan sektor swasta, tetapi ia juga mesti dilaksanakan oleh semua individu untuk memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Kata beliau, kerajaan telah melak­sanakan pelbagai inisiatif inovasi dalam sektor awam di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), hasilnya ia telah berjaya mengubah cara kerja penjawat awam sekali gus memberi banyak sumbangan dalam tadbir urus negara.

“Menerusi pelaksanaan NBOS, kerajaan berjaya menangani pelbagai isu ekonomi dan sosial de­ngan lebih berkesan malah berjaya memberi impak yang tinggi untuk dinikmati masyarakat melalui kos yang jauh lebih rendah.

“Lebih daripada 90 kementerian dan agensi kerajaan telah bekerjasama mewujudkan lebih 115 inisiatif impak tinggi menerusi NBOS seperti Pusat Transformasi Bandar (UTC), 1Malaysia for Youth (iM4U) dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC),” katanya.

Beliau berucap demikian dalam majlis perasmian Persidangan Komuniti Keusahawanan Global 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Eksekutif MaGIC, Ashran Ghazi.

Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Anjakan Lautan Biru Global kepada Ahmad Zahid, Hishammuddin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa ke­rana penglibatan kementerian ma­sing-masing dalam inisiatif NBOS.