Malahan mereka seperti tidak percaya berpeluang untuk berkongsi di atas kerusi yang pernah diduduki oleh ahli-ahli parlimen yang bersidang di dewan yang mulia ini.

Ketika melangkah masuk ke dalam Dewan Rakyat, masing-masing mula mengambil gambar untuk dimuat naik ke dalam media sosial sambil membayangkan mereka adalah wakil rakyat yang sebenar.

DING CHIN WEI
Chin Wei akan membahaskan isu ranking institut pengajian tinggi. - UTUSAN ONLINE/KHAIRULANUAR YAHAYA

"Saya tidak percaya dapat duduk di atas kerusi ini. Kebanyakan orang datang ke sini melawat. Tapi saya berpeluang untuk berbahas dalam dewan ini.

"Dalam hati saya berkata, wah inilah tempat pemimpin kita membuat dasar dan perundangan sehingga melahirkan keamanan negara," kata Ding Chin Wei, 22.

Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia berketurunan campuran Cina dan India itu antara 40 pembahas yang terpilih untuk berbahas di dalam Dewan Rakyat.

Chin Wei akan membahaskan isu ranking institut pengajian tinggi.

"Malam ini saya akan melakukan latihan terakhir dengan membetulkan intonasi dan kaedah perbahasan saya. Sudah tentu rakan sebilik menjadi mangsa malam ini untuk menjadi latihan perbahasan nanti," kata Chin Wei.

MUHAMMAD AMIR HAKIM RAZALI
Muhammad Amir Hakim dari Univerisiti Malaysia Perlis akan membahaskan isu kualiti mahasiswa di peringkat global. - UTUSAN ONLINE/KHAIRULANUAR YAHAYA

Sementara itu, mahasiswa Universiti Malaysia Perlis, Muhammad Amir Hakim Razali, 21, berasa bangga kerana diberi peluang masuk ke dalam Dewan Rakyat.

"Alhamdulillah, saya berasa bangga dapat masuk dan berbahas dalam Dewan Rakyat. Saya dapat merasakan aura pemimpin negara ketika berada dalam dewan yang mulia ini.

"Malam ini seperti rutin hari-hari lain saya akan berbahas secara santai di hadapan rakan-rakan sebilik saya. Mereka akan memberi komen dan kritikan secara terus untuk memperbaiki kelemahan saya," kata Muhammad Amir Hakim.

Mahasiswa Kejuruteraan Reka Bentuk Produk itu akan membahaskan isu kualiti mahasiswa di peringkat global.

JOANNE BONG
Joanne yang mengambil jurusan Pengurusan Projek di UMP akan membahaskan usul berkaitan TN50. - UTUSAN ONLINE/KHAIRULANUAR YAHAYA

Seorang lagi pembahas yang terpilih, Joanne Bong Shan Shan, 23, turut tidak percaya berpeluang untuk masuk dan berbahas di dalam Dewan Rakyat.

"Saya sangat teruja, terharu dan bersyukur kerana diberi peluang ini. Saya berasa seperti seorang ahli parlimen apabila duduk di atas kerusi dalam Dewan Rakyat ini," kata Joanne yang memakai baju kurung.

Mahasiswa Pengurusan Projek dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu akan membahaskan usul berkaitan TN50.

Persidangan Parlimen Mahasiswa 2017 selama dua hari bermula esok dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. - UTUSAN ONLINE